SESUNGGUHNYA HIDUPKU, MATIKU DAN IBADATKU HANYA UNTUK ALLAH, TUHAN SEKALIAN ALAM

PERJALANAN KITA



Akhirat itu di hadapan dan dunia itu di belakang. Ajal itu dekat. Perjalanan itu jauh. Perbekalan itu sedikit. Bahaya itu besar. Dan jalan itu tertutup.
Mengapa akhirat itu di hadapan?
Kerana kita sedang menuju ke arahnya, dan akhirat itulah matlamat sebenar kita, iaitu kehidupan yang kekal. Ia sedang datang dan semakin hampir, tetapi kita kurang menghiraukannya kerana kita selalu meyakinkan diri sendiri bahawa ia masih jauh.
Tanamkan dalam hati dan ingatlah selalu bahawa : “Aku sedang menuju kematian.” Ia mungkin berlaku sebentar lagi, malam ini, esok, minggu depan dan seterusnya.
Kaedah begini dapat memotivasikan kita untuk menambah ilmu, meningkatkan iman dan melonjakkan amal-amal soleh.
Mengapa dunia itu di belakang?
Kerana kita sedang bergerak meninggalkannya, dan dunia itu hanyalah sementara. Ia perlahan-lahan sedang pergi dan semakin menjauh... menjauh..... menjauh.......
Berusaha keraslah untuk dunia, tetapi jangan melebihi usaha kita untuk akhirat. Bandingkan jumlah masa yang kita habiskan sehari-hari untuk memenuhi keperluan keduniaan kita dengan masa yang dihabiskan untuk memenuhi keperluan keakhiratan kita.
Motivasikan diri dengan menyebut: “Selamat tinggal dunia. Selamat datang Akhirat.”
Mengapa ajal itu dekat?
Kerana ia sedang bergerak ke arah kita dan semakin hari semakin hampir. Setiap hari berlalu makin kuranglah umur kita
Kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, tanpa dijangka dan dengan sangat segera.
Kerana Malaikat Maut iaitu Izrail tidak boleh dihalang oleh apa jua pun daripada mendekati kita. Ketika ajal datang, kita tidak boleh bergerak menjauhinya, melainkan ia akan berlaku ketika itu juga.
Cukuplah mati itu sebagai peringatan. Selalulah berfikir tentang kematian dan alam selepasnya. Mati itu adalah pemutus segala nikmat dunia.
Pada hakikatnya memang kematian itu sedang mendatangi kita, tetapi hanya kita yang selalu menyedapkan hati dengan beranggapan yang ia masih sangat jauh dan tidak bergerak-gerak dari tempatnya.
Mengapa perjalanan itu jauh?
Kerana apa yang hendak kita capai di dunia yang sekejap ini pun memakan masa yang lama untuk mencapainya. Berapa lama kita berusaha untuk berjaya dalam hidup di dunia?
Berapa banyak masa, belanja dan tenaga sudah dihamburkan untuk berada dalam keadaan kita hari ini?
Sedangkan apa yang hendak kita capai di akhirat, iaitu matlamat terakhir kita itu memakan masa yang jauh lebih lama untuk mencapainya.
Kita terpaksa melalui pelbagai peringkat yang setiap satunya boleh memakan masa yang amat lama.
Antara peringkatnya ialah alam dunia, alam sakaratul maut, alam kubur, Padang Mahsyar, timbangan amal, titian sirat dan lain-lain.
Berapa lama masa yang diperlukan untuk menamatkan pengembaraan terpanjang ini? Seribu tahun? Sepuluh ribu tahun? Sejuta tahun?...
Sebab itu perjalanan itu.... sangat jauh...
Siapkanlah perbekalan untuk hidup di dunia, sepadan dengan usia kita di dunia ini, iaitu sekitar 70-80 tahun.
Dan siapkanlah perbekalan untuk hidup di akhirat, sepadan dengan usia kita di sana, iaitu selama-lamanya, kekal abadi..
Carilah tuan guru, rakan dan kitab. Pelajarilah cara menyediakan bekalan-bekalan untuk setiap alam yang disebutkan di atas tadi.
Mengapa perbekalan itu sedikit?
Kerana kita lalai mengejar fatamorgana. Fatamorgana-fatamorgana ini sebenarnya menyimpangkan perjalanan kita daripada laluan sebenar menuju Allah.
Lagi diikut, lagi seronok kerana ia mengghairahkan kita untuk mencapainya. Sebenarnya, lagi diikut, lagi jauh kita tersimpang dan tersesat.
Kerana kita meyakinkan diri sendiri bahawa kematian itu lambat lagi berlakunya dan kita punya banyak masa lagi untuk membuat persediaan.
Kita selalu menangguh-nangguhkan kerja mempersiap bekalan ke sana, padahal untuk setiap satu alam yang bakal kita lalui itu, ada perkara-perkara yang perlu kita bawa untuk melepasinya.
Tanamkan dalam sanubari, bahawa : “Aku tak akan kalah dengan fatamorgana.” Apabila bertemu dengan perkara-perkara yang menjauhkan kita dari agama, sekalipun menyenangkan kita, sebut saja, “Fatamorgana semua ini” dan menjauhlah daripadanya dengan sesegera mungkin.
Mulai saat ini, fikir-fikirkanlah : “Apa yang boleh aku buat mulai hari ini dan seterusnya untuk menyiapkan perbekalan untuk hidup di akhirat?”
Senaraikan perancangan anda, dan laksanakanlah perancangan itu.
Mengapa bahaya itu besar?
Kerana jika kita tersilap memilih jalan, kita akan mengalami kerugian dan penderitaan yang tidak ada tolok bandingnya lagi di akhirat kelak.
Rumah terbakar, kaum keluarga mati dibunuh, hilang pekerjaan, dipenjara 100 tahun, gempa bumi, tsunami dan sebagainya di dunia ini hanyalah sebutir debu jika hendak dibandingkan dengan bahaya, kerugian dan penderitaan yang bakal dialami di akhirat kelak.
Tidak ada bahaya yang lebih besar daripada bahaya alam akhirat. Dan tidak ada nikmat yang lebih besar daripada nikmat alam akhirat.
Yang mana satu pilihan hati kita?
Ambil tahulah tentang hal ehwal sakaratul maut, alam kubur, Padang Mahsyar, timbangan amal, titian, syurga, neraka dan lain-lian yang bersangkutan dengan alam akhirat.
Dengan mengetahui serba-sedikit tentang ini semua, akan memotivasikan kita ke arah mencapai kecemerlangan di dunai dan di akhirat.
Mengapa jalan itu tertutup?
Kerana jalan itu perkara ghaib. Hakikatnya tidak dapat dikesan oleh pancaindera dan fikiran makhluk, membuatkan kita memandang remeh padanya.
Kita tidak nampak dosa pahala, malaikat-malaikat yang membuat catatan, syaitan-syaitan jin yang menggoda, Malaikat Maut dan alam akhirat.
Seandainya jalan itu terbuka, lain ceritanya. Sebab tertutup itulah maka kita sangat kurang ambil peduli tentangnya.
Buka sedikit demi sedikit pengetahuan tentang jalan yang tertutup itu dengan mengambil tahu hal ehwal alam akhirat.
Apabila kita sudah boleh ‘nampak’ sebahagian alam itu, akan lebih mantaplah iman dan usaha kita berbanding sebelum ini. InsyaAllah.

Google+ Followers

Alhamdulillah, terbina juga blog ini untuk perkongsian ilmu bersama. Blog ini di inspirasikan dari Lagu PESONA DUNIA - klik untuk mendengar.
Copyright© All Rights Reserved Pesonaduniaindah.blogspot.com