Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati
Allah,
Setiap tahun apabila
sampai tanggal 27 Rejab umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis
sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab,
setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang
peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah
perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh
dibahagikan kepada dua fasa.
Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari
Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
Mikraj ialah perjalanan
dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T
di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan
perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum
menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku
dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar.
Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh
Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam
ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi
lailan" yang
bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada
waktu malam.
Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini
iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak
bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu
firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi
lailan" yang
bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya
pada waktu malam tetapi
yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan
hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada
pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka
menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah
bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya.
Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan
rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W
menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka
orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah
terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang
sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali.
Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka
iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar
apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah
diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan
bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa
baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman
kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi
Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau
digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga
diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika
di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini
seringkali diulang cerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan
Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih
tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
SEBELUM ISRAK DAN MIKRAJ
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan
dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang
ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.
Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah
S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin
nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk
ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan
"Israk" itu.
SEMASA ISRAK ( PERJALANAN DARI MASJIDIL-HARAM KE MASJIDIL-AQSA )
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu
(tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail
supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat
berkenaan ialah:
1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan
melakukan hijrah,
2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu
daripada Allah,
3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi
gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa
simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
1. Kaum
yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai,
hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini
berlaku berulang-ulang.
Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail:
Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala
kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2. Tempat
yang berbau harum.
Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail
: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya
dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman
ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak
mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
3. Sekumpulan
orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala
mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.
Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah
orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4. Sekumpulan
orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis
kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu
dari neraka Jahannam.
Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang
tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5. Satu
kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan
daging masak ada di sisi mereka.
Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan
yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri/suami.
6. Lelaki
yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.
Kata Jibrail: Itulah orang yang makan
riba.
7. Lelaki
yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah
lagi kayu yang lain.
Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat
menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8. Satu
kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi
berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti
biasa.
Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat
fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9. Kaum
yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.
Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan
daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10. Seekor
lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya
semula lubang itu.
Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap
besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11. Seorang
perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak
memperdulikannya.
Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika
Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan
dunia daripada akhirat.
12. Seorang
perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya.
Kata Jibrail: Itulah orang yang
mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13. Seorang
perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.
Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia
yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian
masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia
dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa
dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah
S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang
betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
SEMASA MIKRAJ ( NAIK KE HADHRATUL-QUDUS MENEMUI ALLAH S.W.T)
Didatangkan Mikraj
(tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas
tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama:
Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat
orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang
rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada
susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua:
Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit
yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi
Yusuf A.S.
Di Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan
Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan
Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan
Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala
(disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit
ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di
Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim
A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu
adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA
BILLAH. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku
kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan
tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:
SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA
ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL-
'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang
membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberapa
peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur
dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan:
Di sinilah disebut "al-Kursi"
yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah,
sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan
dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.
Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus
masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta
dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur
'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT
dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah
dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil
dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa.
Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau
kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa
pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau
ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang
buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya
daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu
sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan
buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan
keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah
Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu
ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah
'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar
makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan
semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu
lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa
menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh
Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan
jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima
waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
SELEPAS MIKRAJ
Rasulullah S.A.W turun ke
langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan
pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu
dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa
Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu
berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
Wallahu'alam.
(Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
No comments:
Post a Comment