Semua yang ada di dalam majlis ketika itu
terkejut dengan keberanian pemuda ini. Maka bermulalah perdebatan di antara mereka. Bila mana pemuda ini duduk duduk pada tempat
yang disediakan maka serentak dengan itu salah seorang Atheis terus mengajukan
soalan:
Soalan Pertama
Atheis: “Pada zaman bilakah Tuhan kamu
dilahirkan?”
Pemuda tersebut tersenyum lalu menjawab: “Allah
Taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia
punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu
Dia punya anak.”
Soalan Kedua
Atheis: “Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu
wujud?”
Pemuda itu seraya menjawab: “Allah Taala itu
wujud sebelum adanya zaman, sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya, mana
mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya.”
Soalan Ketiga
Atheis: “Cuba kamu berikan kepada kami sedikit
gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana
mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?”
Pemuda itu menjawab: “Kamu pandai mengira?”
Kelompok Atheis itu menjawab: “Tentu sekali
kami pandai mengira.”
Pemuda itu meneruskan ucapannya: “Bolehkah kamu
beritahu aku apakah nombor sebelum nombor empat (4)?”
Atheis: “Nombor 3″
Pemuda: “Nombor sebelum 3?”
Atheis: “Nombor 2″
Pemuda: “Nombor sebelum 2?”
Atheis: “Nombor 1″
Pemuda: “Nombor sebelum 1?”
Atheis: “Tiada”
Pemuda itu tersenyum lalu memberikan
penerangan: “Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sebelumnya tiada
mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada
permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada nombor itu sendiri?”
Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan
jawapan yang padat dan bernas daripada pemuda itu. Ternyata mereka silap
perkiraan bila mana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya mereka
merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan mereka ternyata
menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.
Soalan Keempat
Atheis: “Tahniah anak muda di atas jawapanmu
sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik,
tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”
Pemuda itu menjawab: “Jika aku bawa sebuah
pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah
cahaya pada api tersebut mengadap?”
Kelompok Atheis menjawab: “Cahaya itu tentulah
akan menerangi keseluruhan arah.”
Pemuda itu berkata: “Jika cahaya yang
diciptakanNya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia
mengadap, inikan pula Sang Pemilik Cahaya langit dan bumi ini sendiri?”
Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada
pemuda itu bersorak kegembiraan. Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.
Soalan Kelima
Atheis: “Bolehkah kamu terangkan kepada kami,
bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang
mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?”
Pemuda itu sekali lagi tersenyum. Beliau
menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar
persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran
apakah jawapan yang akan diberikan oleh pemuda itu.
Pemuda itu menjawab: “Kamu semua tentu pernah
duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”
Atheis menjawab: “Tentu sekali.”
Pemuda itu meneruskan: “Bila mana orang sakit
tadi mati, bolehkah kamu bercakap dengannya?”
Atheis menjawab: “Bagaimana mungkin kami
bercakap dengan seseorang yang telah mati?”
Pemuda itu meneruskan: “Sebelum dia mati kamu
boleh bercakap-cakap dengannya, namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak
bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”
Kelompok Atheis tertawa lalu memberikan
jawapan: “Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda?
Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini
kerana rohnya telah terpisah daripada jasadnya.”
Pemuda itu tersenyum mendengar jawapan mereka
lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa rohnya telah terpisah daripada
jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk
roh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut
seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”
Tertunduk kesemua Atheis tersebut bila mana
mendengar persoalan pemuda bijak tersebut. Ternyata olokan mereka sebentar tadi
kembali tertimpa ke atas mereka.
Kelompok Atheis menjawab dengan keadaan penuh
malu: “Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya.”
Pemuda itu lalu meneruskan bicaranya: “Jika
makhluknya seperti roh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada
aku, bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk
Tuhan Pemilik Roh serta sekalian alam ini?”
Soalan Keenam
Atheis: “Di manakah Tuhan kamu duduk sekarang?”
Pemuda itu kembali bertanyakan soalan kepada
mereka: “Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam
susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya,
dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?”
Kelompok Atheis menjawab: “Kami tidak dapat
menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini
kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”
Pemuda itu seraya berkata: “Kamu sendiri lemah
di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di
dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya, masakan pula kamu ingin
mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh
aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini.”
Soalan Ketujuh
Atheis: “Kami pelik bagaimana jika masuk ke
dalam syurga ada permulaannya (iaitu selepas dihisab oleh Allah Taala di padang
Mahsyar) namun bila mana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya
(maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)?”
Pemuda itu tersenyum lagi lalu menjawab:
“Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor. Ianya
bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku
apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”
Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan
jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.
Pemuda itu tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan.
Pemuda itu tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan.
Kemudian beliau menyambung bicaranya: “Nah,
kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir
bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu.”
Soalan Kelapan
Atheis: “Kami ingin bertanya lagi, bagaimana
mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan
berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak
masuk akal.”
Pemuda itu tenang membetulkan kedudukannya.
Lalu beliau menjawab: “Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu
sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan
daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan
besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”
Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu
bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini.
Soalan Kesembilan
Ia soalan terakhir yang ditanyakan oleh
kelompok Atheis tersebut kepada pemuda itu bila mana mereka telah mati kutu dan
sudah terlampau malu ialah berkenaan: “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang
dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”
Maka pemuda itu menjawab dengan tenang:
“Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat.
Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah.
Jawapan hanya boleh diberikan bila mana aku berada di atas mengambil alih
tempatmu.”
Kelompok Athies itu lalu bersetuju dengan
cadangan pemuda tersebut, lalu mereka bertukar tempat. Pemuda itu naik ke atas,
manakala sang Atheis turun ke bawah.
Bila mana pemuda itu sudah berada di atas,
terus beliau menjawab: “Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan
sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan
menaikkan pemuda itu ke atas) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan
kelompok Atheis tersebut ke bawah).”
Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi
persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh pemuda
itu dengan penuh hikmah.
Walau sudah hampir ribuan tahun pemuda itu
meninggalkan kita, namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup
di sisi kita.
Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah
Nu’man bin Thaabit r.a serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan
muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah wafat.
- Syeikh Nazrul Nasir Al-Azhari -
No comments:
Post a Comment