Disediakan oleh: Ahmad Fadhli bin Shaari, Pensyarah KIAS
Pendahuluan
Istilah
tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali khususnya di kalangan
pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada
tahun 1924, gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di
bawah pimpinan Hassan al-Banna pada tahun 1928.
Penubuhan
gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiyyah Allah
SWT. Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan
Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka
hampir sama antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan
lebih jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.
Dalam keadaan hari ini,
amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam bahawa mereka tidak mampu untuk
berdiri sendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah
negara bangsa yang dibina pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami
inti kandungan Islam dan kebaikan-kebaikannya.
Lantas,
berlakulah keperluan untuk bekerjsama dengan gerakan lain samada di dalam
menyertai politik pilihanraya atau sebagai pendokong di dalam pembentukan
kerajaan. Persoalannya, adakah ia merupakan satu keharusan? Dalam erti kata
lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan
gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk
kerajaan?
Pengertian
Tahaluf Siyasi
Tahaluf
Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain
yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh
terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama
menghadapi musuh yang sama.
Tahaluf
Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau
berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini,
tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan
Islam untuk menghadapi musuh yang sama.
Hukum
Tahaluf Siyasi
Para ulama
haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan
gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka
dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta
menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram.
Di antara
mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin
Abdullah . Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr
Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid
, Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .
Dalil-dalil
yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut
:
1. Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)
Yang bermaksud :
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu);
sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa
diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu
termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit
dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan
Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana".
Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau
sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal
terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.
Hujah :
Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang
kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada
mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli
kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’
kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan
dengan akidah Islam.
2. Firman Allah SWT :
فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Yang bermaksud :
Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan
beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya
Hujah :
Ayat di
atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut
tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa
sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan
hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan
menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah.
Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan
mudharat daripada manfaat.
3.
Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam
ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka
mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini
berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang
kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.
Manakala
bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang
diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
1. Half
al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah
iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang
dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang
dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud :
Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika
jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut
dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang
bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan
ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan
sesuatu perkara yang baik.
Hujah :
Sekalipun
Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah
memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan
bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang
berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya
adalah baik.
2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa
saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum
Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :
2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan :
2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan :
“Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa
yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa
selama-lamanya”
Kata-kata ini
dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui
tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad
SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi
baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk
melindungi Nabi Muhammad SAW.
2.2
Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada
Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka
melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak
dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga
tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini
ditampalkan di dinding kaabah.
Hujah :
Di dalam
peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu
keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan
Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada
peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.
3.
Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan
Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif.
Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik
yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im
sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya
Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan
lakukan untuknya..”
Hujah :
Mut’im
di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan
kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu
menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk
menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab
soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari
orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan
kebaikan kepada Islam dan umatnya.
4.
Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan
negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan
satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum
muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar
memelihara kebajikan kedua-dua pihak.
Di antara
isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum
Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong
sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling
menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan
hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku
apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah
kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”
Hujah
:
Inilah
sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam
menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum
musyrikin daripada realiti kehidupan.
5.
Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda
bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun
disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani
Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah
SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy.
Bani
Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman
jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim
sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan
memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang
zalim.
6.
Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa
ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang
merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan
untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga
kemaslahan umat Islam.
Jawapan
Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam
memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf
siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
1. Ayat
yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada
tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan
kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua
munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya
Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW.
Ini
menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi
berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk
bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.
2. Ayat 219 dari surah
al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi
bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi
yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman,
manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin.
Oleh yang
demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan
senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah
dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.
Kesimpulan
Di dalam
mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak
mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah
dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam
usaha untuk menegakkan agama Allah SWT.
Bagaimanapun,
perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari
masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan
langkah yang diambil.
Penyertaan
gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian
yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan
gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan
semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan
kerugian di mereka nanti.
Maklumat Penulis :
Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah
No comments:
Post a Comment